Paling kurang, apabila di hujung majlis, kita ada membaca surah tersebut walaupun ada yang tidak faham mengapa mereka membacanya. Dalam kesempatan kali ini, mari kita memerhati apakah maksud al-’asr yang dinyatakan dalam surah tersebut.
Asas makna al-’asr ini ialah “memerah sesuatu sehingga menitis.” Inilah yang dinyatakan oleh Ibn Faris dalam Mu’jam Maqayis al-Lughah.
Atas dasar itulah, Allah menggunakan perkataan mu’siraat sepertimana tertulis dalam surah an-Naba’ ayat 14 yang bermaksud:
[Dan Kami menurunkan dari awan (mu'siraat) , air hujan yang mencurah-curah.]
Awan ialah mu’siraat yang dikaitkan dengan perkataan al-’asr di mana awan akan ‘diperah‘ bagi menghasilkan hujan yang turun dan dapat kita nikmati dalam kehidupan seharian. Atas roh inilah juga kita memahami al-asr atau masa umur yang Allah kurniakan pada kita. Apa yang perlu kita buat? Kita perlu ‘memerah‘nya sekuat tenaga agar terhasil iman dan amal. Orang yang tidak memerah umurnya akan sentiasa berada dalam kerugian.
Selain itu, Allah menyatakan setelah beriman dan beramal soleh, ia tidak berhenti di situ sahaja. Perlu ada nasihat atas dasar kebenaran dan kesabaran kerana dengan kaedah ini sahajalah, kita akan mampu untuk terus beriman dan beramal. Jika tidak, ia akan mendatangkan kelesuan dan keletihan seterusnya kita gugur dalam lapangan iman amal. Marilah kita sama-sama memerhati makna al-asr yang sebenar-benarnya. Memang ‘amal perlu diusahakan. Ia tidak sepertimana cita-cita kosong (amal – dieja dengan alif mim laam). ‘Amal (dieja ‘ain mim laam) perlu diberi satu tujahan untuk menjadi realiti. Jangan lagi kita menanti dan menunggu, tetapi tujahkan diri kita agar mampu ber’amal dengan sebenarnya.
No comments:
Post a Comment