Friday, 6 July 2012

menegakkan agama ALLAH






Allah Taala berfirman di dalam Al Quran (bermaksud),

“Jangan kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan…”
(Al Baqarah:195).

Makna bagi ayat “…mencampakkan diri ke dalam kebinasaan” di sini ialah kamu tidak menjalankan tugas jihad. Tetapi ada manusia menyalahgunakan ayat ini. Mereka berkata, tidak ada gunanya kita berjuang untuk Islam, nanti kita akan dipenjarakan, ditukar tempat kerja atau dibuang kerja dan sebagainya sedangkan Allah Taala mengatakan, “…Jangan kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan”.

Inilah cara bagaimana cakap-cakap yang berdalilkan ayat dengan cara yang salah kerana ayat ini mempunyai hubungan dengan menegakkan agama Allah Taala, bahkan orang yang tidak berani menegakkan agama Allah itulah orang yang mencampakkan diri mereka ke dalam kebinasaan.

Diriwayatkan ketika orang-orang Islam berperang dalam rangka menawan kota Constantinople (Istanbul, Turki), tiba-tiba orang Islam berdepan dengan tentera Rom yang terlalu ramai. Ada antara orang Islam itu seorang pahlawan yang terlalu berani, menawarkan untuk masuk ke dalam pasukan tentera Rom yang ramai bersendirian walaupun akibatnya yang bakal diterima pasti dia dibunuh. Lalu orang ramai mengatakan, “Kenapa sanggup membinasakan diri? Tidakkah Allah mengatakan dalam Al Quran; “…Jangan kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan”?

Kebetulan di dalam peperangan tersebut ada seorang Sahabat Nabi yang umurnya telah menjangkau 80 tahun, namanya Abu Ayub Al Ansari R.A iaitu sahabat yang diberi kelebihan ketika Rasulullah S.A.W berhijrah, unta Baginda S.A.W telah berhenti di laman rumah Abu Ayub sebagai isyarat Baginda memilih rumahnya untuk bermalam di situ sebelum Baginda memiliki rumah sendiri di kota Madinah. Abu Ayub telah tua ketika bersama tentera Islam dalam peperangan menentang Rom.

Apabila Abu Ayub Al Ansari mendengar seseorang membaca ayat tersebut, dia naik radang sambil berkata, “Wahai manusia! Sesungguhnya kamu telah mentakwilkan ayat ini dengan takwil yang begitu rupa (pentakwilan yang menyeleweng). Sesungguhnya ayat ini diturunkan kepada kami golongan Ansar ketika kami telah mendapat ganjaran daripada Allah Taala, iaitu ketika Allah memenangkan agamaNya dan ramai orang yang menolong agamaNya. Maka berkatalah segelintir kami kepada segelintir yang lain.

Kami berbisik sesama kami, dengan harapan hal itu tidak diketahui oleh Baginda Rasulullah S.A.W bahawasanya harta manusia sudah banyak; Kita ketinggalan dalam memajukan dan mengumpul harta benda kerana terlalu mementingkan jihad (di medan perang), kita tidak dapat menguruskan kebun dan perniagaan dengan baik (kerana asyik berjihad)”.

“Sesungguhnya Allah memberi kemenangan kepada Islam dan orang yang menegakkan agama Islam sudah ramai, maka langkah sebaiknya kita semua tinggal di Madinah, tidak payah lagi berperang. Kita serahkan urusan jihad itu kepada orang lain kerana kita mahu membaiki dan menjaga kebun kita dan apa yang ketinggalan selama ini dalam harta benda, agar kita dapat mengatasinya semula”.
“Justeru, Allah Taala menurunkan ayat ini kepada Nabi-nya sebagai menolak apa yang kami katakan, “…Dan berbelanjalah kamu pada jalan Allah, dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan”.

Abu Ayub R.A adalah seorang Sahabat yang berani, sekalipun dalam keadaan sakit beliau mewasiatkan supaya dikebumikan mayatnya di tepi kota itu (kota constantinople) dan melarang tentera Islam membawa pulang mayatnya ke Madinah. Ini kerana beliau mahu kuburnya dipijak oleh kuda-kuda tentera Islam yang meneruskan perjuangan Islam, menawan kota tersebut dari tangan musuh.

Orang Islam berjihad beratus-ratus tahun lamanya untuk menawan kota Constantinople kerana kerajaan Rom Timur mempunyai teknologi yang kuat dan lebih daripada orang Islam. Mereka mempunyai berbagai-bagai senjata moden pada zaman itu antaranya mereka boleh melontarkan peluru api yang boleh bernyala di dalam air sehingga kapal-kapal tentera Islam terbakar.

Akhirnya Allah Taala memberi kurniaan kepada Sultan Muhammad Al Fateh iaitu Sultan kerajaan Islam Uthmaniyah yang memimpin tentera Islam dalam usia 20-an. Baginda diberi kelebihan yang dijanjikan oleh Rasulullah S.A.W bahawa Baginda boleh menawan kota itu semula dan memimpinnya. Setelah kota itu ditawan orang Islam, mereka menukar namanya kepada Istanbul dan gereja Es Sophia (Aya Sophia)yang besar itu berhasil ditawan oleh orang Islam.

Patung-patung yang dibina di dalam dan persekitarannya di buang serta ia ditukar menjadi masjid yang agung hingga ke hari ini. Sehingga sekarang masjid itu dikenali dengan Masjid Al Fateh atau Masjid Es Sophia tetapi sayangnya apabila Mustafa Kamal Ataturk berkuasa di Turki, dia telah menjadikan masjid itu sebagai muzium. Tetapi alhamdulillah setelah orang Islam kembali sedar, muzium itu ditukar semula kepada masjid.

Berdasarkan kepada ayat yang ditafsirkan ini dan berdasarkan kepada riwayat Abu Ayub Al Ansari, orang Islam boleh menunjukkan keberanian sehingga ke peringkat mati menentang musuh yang lebih ramai jika sekiranya tindakan itu memberi semangat kepada tentera-tentera Islam yang lain. Memang berlaku di kalangan orang Islam apabila hatinya terlalu kuat hubungannya dengan Allah Taala, di hadapan matanya hanyalah balasan baik daripada Allah dan janjiNya. Apabila berlakunya hubungan langit dan bumi yang terlalu erat dan tidak ada pemisahan lagi, maka seseorang itu tidak akan takut lagi kepada mati.

Kesimpulannya, mencampakkan diri ke dalam kebinasaan ini ialah ditujukan kepada orang yang tidak berjihad dan tidak memberi sumbangan harta benda serta jiwa raganya untuk meninggikan agama Allah.

FirmanNya yang bermaksud,
“Berbuat baiklah kamu, sesungguhnya Allah kasih kepada orang yang berbuat baik”
(Al Baqarah:195).

Di antara berbuat baik itu ialah membelanjakan harta benda kepada menegakkan agama Allah Taala dan sesungguhnya Allah amat suka dan kasih kepada orang-orang yang suka berbuat baik.



sumber dari: abunuha.wordpress.com

No comments:

Post a Comment