|
يَسْأَلُونَكَ عَنِ الشَّهْرِ
الْحَرَامِ قِتَالٍ فِيهِ قُلْ قِتَالٌ فِيهِ كَبِيرٌ وَصَدٌّ عَن سَبِيلِ اللّهِ
وَكُفْرٌ بِهِ وَالْمَسْجِدِ الْحَرَامِ وَإِخْرَاجُ أَهْلِهِ مِنْهُ أَكْبَرُ
عِندَ اللّهِ وَالْفِتْنَةُ أَكْبَرُ مِنَ الْقَتْلِ وَلاَ يَزَالُونَ
يُقَاتِلُونَكُمْ حَتَّىَ يَرُدُّوكُمْ عَن دِينِكُمْ إِنِ اسْتَطَاعُواْ وَمَن
يَرْتَدِدْ مِنكُمْ عَن دِينِهِ فَيَمُتْ وَهُوَ كَافِرٌ فَأُوْلَـئِكَ حَبِطَتْ
أَعْمَالُهُمْ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ وَأُوْلَـئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ هُمْ
فِيهَا خَالِدُونَ
217 . Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai
(hukum) berperang dalam bulan yang dihormati; katakanlah: Peperangan dalam bulan
itu adalah berdosa besar, tetapi perbuatan menghalangi (orang Islam) dari jalan
Allah, dan perbuatan kufur kepada-Nya, dan juga perbuatan menyekat (orang Islam)
ke Masjid Al-Haram (di Mekah), serta mengusir penduduknya dari situ, (semuanya
itu) lebih besar lagi dosanya di sisi Allah. Dan (ingatlah) angkara fitnah itu
lebih besar (dosanya) daripada pembunuhan (semasa perang dalam bulan yang
dihormati). Dan mereka (orang-orang kafir itu) sentiasa memerangi kamu hingga
mereka dapat memalingkan kamu dari agama kamu kalau mereka sanggup; dan sesiapa
yang murtad diantara kamu dari agamanya (agama Islam), lalu ia mati sedang ia
tetap kafir, maka orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya yang baik
di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya
(selama-lamanya).
|
Penggunaan ayat 217 surah al-Baqarah sebagai dalil menolak cadangan supaya sekatan dibuat kepada jemaah haji dari menunaikan haji jika wabak H1N1 sukar lagi dikawal
Latar belakang isu
Dalam satu wawancara bertajuk “H1N1 : Jangan Halang Tunai Haji “ telah disiarkan oleh surat khabar Utusan Malaysia bertarikh 4 Ogos 2009 berkenaan isu cadangan beberapa pihak ,agar disekat jemaah haji dari menunaikan haji apabila wabak H1N1 memerbahayakan jemaah .Wawancara berkenaan berlaku antara wartawan dengan seorang tokoh masyarakat.Beliau melahirkan tidak bersetuju dengan cadangan menyekat jemaah haji dari menunaikan haji walaupun berlaku wabak penyakit berkenaan dengan berdalilkan ayat 217 surah al-Baqarah.
Penghujahan beliau
Berikut adalah petikan pandangan beliau dengan menggunakan ayat ini sebagai dalil
“Melarang umat Islam menunaikan haji juga adalah berdosa sebagai mana firman Allah yang bermaksud: Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) berperang dalam bulan yang dihormati; katakanlah: Peperangan dalam bulan itu adalah berdosa besar, tetapi perbuatan menghalangi (orang-orang Islam) dari jalan Allah dan perbuatan kufur kepada-Nya dan juga perbuatan menyekat (orang-orang Islam) ke Masjidilharam (di Mekah), serta mengusir penduduknya dari situ, (semuanya itu) adalah lebih besar lagi dosanya di sisi Allah…(al-Baqarah: 217)”
Tinjauan kepada ayat berkenaan
Firman Allah SWT :
Terjemahan firman Allah SWT :
“mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad), mengenai (hukum) berperang dalam bulan yang dihormati; katakanlah: “Peperangan dalam bulan itu adalah berdosa besar, tetapi perbuatan menghalangi (orang-orang Islam) dari jalan Allah dan perbuatan kufur kepadaNya, dan juga perbuatan menyekat (orang-orang Islam) ke Masjid Al-Haram (di Makkah), serta mengusir penduduknya dari situ, (semuanya itu) adalah lebih besar lagi dosanya di sisi Allah. dan (ingatlah), angkara fitnah itu lebih besar (dosanya) daripada pembunuhan (semasa perang dalam bulan yang dihormati). dan mereka (orang-orang kafir itu) sentiasa memerangi kamu hingga mereka (mahu) memalingkan kamu dari ugama kamu kalau mereka sanggup (melakukan yang demikian); dan sesiapa di antara kamu yang murtad (berpaling tadah) dari ugamanya (ugama Islam), lalu ia mati sedang ia tetap kafir, maka orang-orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah ahli neraka, kekal mereka di dalamnya (selama-lamanya).” (Surah al-Baqarah(2):217)
Sebab turunnya ayat ini(sabab al- nuzul)
Mengetahui sebab turun ayat sangat penting untuk kita mengetahui maksud ayat berkenaan dan menghuraikan kekeliruan .Al-Wahidi mengatakan bahawa tidak mungkin menafsirkan al- Qur’ān tanpa kita menyelidiki kisah disebaliknya dan latarbelakang penurunannya .Ibnu Daqiq al-‘Id pula mengatakan penjelasan terhadap sesuatu sabab al- nuzul merupakan jalan yang paling mantap untuk memahami makna al- Qur’ān.[3]
Antara faedah kita memahami sabab al- nuzul juga adalah kita akan mengetahui oarng yang dimaksudkan dengan penurunan sesuatu ayat berkenaan dan menjelaskan kesamaran.[4]
Sebab turunnya ayat ini ialah dilatari dengan peristiwa sariah ’Abdullah bin Jahsh sebelum peperangan Badar bersama 8 orang Muhajirin yang telah membunuh ‘Amru bin al-Hadrami ,menawan 2 orang tawanan dan merampas barang dagangan Quraish .Peristiwa ini berlaku disebabkan ’Abdullah bin Jahsh menyangka bahawa mereka masih berada dalam hari terakhir bulan Jamad al-Akhir sedangkan sebenarnya telah masuk hari awal Rejab .Rejab adalah salah satu bulan yang diharamkan berperang di dalamnya.Perbuatan mereka ini pada awalnya tidak dipersetujui oleh Rasulullah SAW menyebabkan celaan demi celaan dilontarkan kepada kumpulan sariah ini dan sudah tentu kesempatan ini telah digunakan sepenuhnya oleh orang Yahudi dengan menyebarkan di‘ayah bahawa orang Islam telah mencabuli konvensyen tidak boleh berlaku pembunuhan dan peperangan di dalam bulan-bulan Haram.[5]Maka Allah SWT menurunkan ayat ini sebagai penjelasan terhadap isu yang berlaku .
Kaitan ayat ini dengan sebelum dan selepasnya (munasabah bayna al-āyat)
Kaitan ayat ini dengan sebelum dan selepasnya (munasabah bayna al- ayat ) juga penting dalam usaha memahami kehendak ayat berkenaan khususnya untuk kita tidak tersasar dari tema ayat berkenaan.Kemungkinan ayat-ayat berkenaan mempunyai hubungan antara satu sama lain.Lebih-lebih lagi apabila ayat itu sukar difahami jika ia dibaca bersendirian dan terpisah dari yat selepas atau sebelumnya[6]
Apabila ditinjau kepada ayat sebelumnya , ia adalah kesinambungan dari ayat perintah jihad , kerana ayat 216 surah al- baqarah ini menceritakan tentang kewajipan tuntutan jihad itu bila-bila masa sahaja kemudian yang menjadi persoalannya samada perintah itu juga melampaui sekatan tempat seperti di masjid al-haram ,ataupun ia melangkaui sempadan masa seperti bulan-bulan haram berperang .Lebih-lebih lagi peristiwa sariah ’Abdullah bin Jahsh telah mengelirukan sebahagian muslimin dan telah diambil kesempatan oleh Yahudi.Ayat 217 ini adalah menjawab persoalan berkenaan.Namun ia masih dalam suasana menceritakan perihal jihad.
Apabila ayat ini dilihat kaitannya dengan frasa ayat berikutnya , kita mendapati bahawa tabiat orang yang memusuhi Islam ini ialah sentiasa berterusan dan akan bertindak apabila mempunyai peluang [7].
Kesimpulannya ayat-ayat ini masih mempunyai tema jihad dan episod permusuhan antara antara iman dan kufur.
Kefahaman ayat
Adalah difahami dari ayat ini bahawa pembunuhan yang dilakukan dalam bulan Rejab oleh sariah yang diketuai oleh ’Abdullah bin Jahsh disebabkan kesilapan perhitungan tarikh , sebenarnya kalau dibandingkan dengan jenayah orang mushrikin yang selama ini memerangi umat Islam ,menghalang mereka dari jalan kebenaran setelah mereka mengkufurinya , malah menghalau orang Islam dari kampung halaman sendiri adalah jenayah yang jauh lebih serius dari pembunuhan yang dilakukan disebabkan silap perhitungan bukan disengajakan.[8]
Kesimpulan
Perbandingan yang dibuat antara sabab al- nuzul , munasabah bayna al- ayat dan kefahaman ayat dengan kesimpulan yang dibuat untuk menjustifikasikan pandangan menolak cadangan menghalang jemaah haji dari menunaikan haji jika wabak H1N1 tidak terkawal dilihat sebagai menggunakan ayat diluar konteks nya .Apabila merujuk kepada kitab tafsir aliran fiqh pun , kita tidak mendapati isu fiqh yang diperbincangkan mengenai hukum melarang orang Islam dari menunaikan haji ; tetapi perbahasan adalah mengenai samada ayat ini dinasakhkan atau tidak.
sumber dari: muis.ismaweb.net
No comments:
Post a Comment