
Beriman 
kepada Allah SWT menuntut kita untuk melaksanakan ketaatan seorang hamba atau 
makhluk kepada Pencipta Yang Maha Agung. Semua makhluk ciptaan Allah SWT tidak 
terlepas daripada tuntutan ini. Firman Allah SWT: "Dan 
(Ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka 
menyembah dan beribadat kepada-Ku." (QS Al-Dzaariyaat: 56)
Manusia 
diciptakan untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT dengan mematuhi dan 
melaksanakan segala titah perintah Allah SWT serta menjauhi segala laranganNya. 
Manusia yang menjadi sebaik-baik ciptaan telah dikurniakan dengan akal fikiran 
agar dapat dipergunakan untuk memikirkan tentang perintah dan kebesaran Allah 
SWT. Dengan kelebihan tersebut jua, Allah SWT telah menjadikan manusia sebagai 
khalifah di muka bumi sebagaimana firmanNya: "Dan 
(Ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak 
menjadikan seorang khalifah di bumi." (QS Al-Baqarah: 30) 
Abul Laits 
Assamarqandi meriwayatkan dengan sanadnya dari Abu Said Alkhudri RA berkata: 
"Seorang datang kepada Nabi Muhammad SAW dan berkata: "Ya Rasulullah, 
nasihatilah aku." Nabi Muhammad SAW bersabda: "Jagalah 
taqwa kepada Allah SWT sebab taqwa itu menghimpunkan segala kebaikan. Dan 
kerjakan jihad sebab dia sebagai pertapaan bagi umat Islam. Dan lazimilah 
dzikrullah dan membaca Al-Quran, sebab ia cahaya penerangan untukmu di bumi dan 
sebutan namamu dilangit. Dan jagalah lidahmu kecuali dalam kebaikan sebab dengan 
itu dapat mengalahkan syaitan laknatullah."
Abul Laits 
berkata: "Taqwa kepada Allah SWT ialah mengerjakan 
perintah Allah SWT dan meninggalkan laranganNya, maka siapa berbuat demikian 
bererti telah menghimpunkan semua kebaikan. Dan jagalah lidahmu dalam kebaikan 
bererti katakanlah yang baik sehingga untung dan diamlah dari kejahatan sehingga 
selamat. Dan manusia tidak dapat mengalahkan syaitan laknatullah kecuali dengan 
diam, kerana itu seharusnya seorang muslim menjaga lidahnya sehingga terlindung 
dari syaitan laknatullah. Dan Allah SWT akan 
menutup auratnya." 
Oleh 
yang demikian, manusia seharusnya dapat menjadi contoh ikutan bagi sekalian 
makhluk yang ada. Manusia yang taat kepada Allah SWT. adalah manusia yang 
bertaqwa. Ketaqwaan ini pula akan membawa kepada kemuliaan di sisi Allah SWT. di 
dunia mahupun di akhirat. Orang yang bertaqwa telah dijanjikan oleh Allah SWT. 
dengan beroleh kejayaan dan ganjaran kebaikan di dunia dan akhirat. Sebaliknya 
orang yang tidak taat dan ingkar dengan perintahNya akan beroleh balasan neraka 
dan azab siksa yang amat pedih. 
sumber dari: tigosotigo.blogspot.com
No comments:
Post a Comment