Friday, 11 April 2014

Tahlil Sebaik-Baik Amalan.






Di dalam amalan bertahlil yang dilakukan oleh masyarakat kita, terdapat surah-surah yang dibaca walaupun ianya adalah seringkas-ringkas amalan untuk dihadiahkan kepada si mati, namun surah-surah tersebut mempunyai kelebihan yang khusus serta mudah dibaca secara berjemaah.Sebaik-baiknya amalan membaca Surah Al-Ikhlas dilakukan sebanyak 11 kali dan sebelum itu dibacakan Surah At-Takaathur.Adalah lebih baik lagi jika ia dimulai dengan bacaan Surah Yassin sebelum amalan bertahlil.

Perlu diingat, bahawa membaca Surah Yassin dan bertahlil ini bukan hanya dilakukan ketika adanya kematian sahaja tetapi amalan ini merupakan sebaik-baik amalan dilakukan ketika kaum muslimin berhimpun sebelum menikamati juadah sekiranya diadakan jamuan.
Apabila amalan tersebut dilakukan pada majlis-majlis jamuan, nescaya terhimpunlah kelebihan amalan-amalan yang dituntut oleh syara' seperti berikut:

1) Amalan berhimpun membaca Al-Quran, berzikir dan berselawat.
2) Amalan mengadakan jamuan selepas bertilawah dan berzikir.
3) Amalan menolong si mati dengan menghadiahkan pahala jamuan, pahala tilawah dan zikir serta berdoa untuk si mati.

Sejak akhir-akhir ini, terdapat golongan yang mengaku sebagai pakar dalam menentukan hukum sehingga mengatakan bahawa amalan bertahlil ini tiada terdapat dalilnya dan pengamalnya dituduh sebagai melakukan amalan bidaah yang keji lagi mungkar.Benarkah apa yang didakwa oleh golongan anti tahlil ini?

Di sini adalah lebih baik kita kemukan beberapa dalil bagi amalan yang tersebut seperti berikut:

1) Diriwayatkan daripada Abi Hurairah, sabda Rasulullah s.a.w. "Tidak berhimpun suatu perhimpunan pada satu majlis di dalam masjid daripada masjid-masjid Allah, lalu mereka membaca Al-Quran dan bertadarus sesama mereka, melainkan turun ke atas mereka ketenangan dan diselubungi rahmat Allah serta dilingkungi para malaikat, dan Allah menyebut tentang mereka di kalangan nabi dan malaikat di sisiNya" - Sahih Muslim.
Sabda Nabi Muhammad s.a.w,"Tidaklah berhimpun satu perhimpunan di dalam suatu majlis lalu mereka tidak berzikir mengingati Allah dan tidak berselawat ke atasku, melainkan kekurangan dan penyesalan ke atas mereka di hari Kiamat".

2) Imam Ahmad dan Hakim meriwayatkan daripada Suhaib, Nabi Muhammad s.a.w bersabda, "Seseorang yang terlebih baik di antara kamu ialah mereka yang menjamu makan dan menjawab salam". Hadis ini sahih sanadnya. Diriwayatkan oleh Turmizi bahawa sahabat-sahabat Nabi tidak bersurai daripada majlis bertilawah Al-Quran dan zikir, melainkan selepas menikmati jamuan.

3) Hadis yang dikeluarkan oleh Ad-Dailami dan Baihaqi di dalam kitabnya Syu'abil Iman, daripada Ibnu Abbas bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, "Tidaklah orang mati yang berada di dalam kuburnya malainkan seperti orang yang lemas air, menjerit-jerit meminta pertolongan dan menanti-nanti doa yang akan diperolehinya daripada bapa atau ibunya, mahupun daripada anaknya dan kawan yang dipercayainya. Apabila mendapat doa itu nescaya adalah terlebih dikasihinya daripada dunia dan seisinya. Sesungguhnya Allah Ta'ala memasukkan doa penduduk bumi seumpama gunung-ganang kepada ahli kubur dan bahawasanya hadiah orang yang hidup terhadap orang yang mati adalah meminta pengampunan baginya."

Tersebut juga di dalam kitab Al-Hawi Lil Fatawi bagi Imam Suyuti daripada Thawus (seorang Imam Tabien yang besar), berkata, "Sesungguhnya orang yang mati itu dicuba dan diuji (dengan soal kubur) di dalam kubur mereka selama tujuh hari. Adalah sahabat-sahabat Nabi s.a.w. menyatakan sunat mengadakan jamuan makan bagi pihak orang yang telah mati (dengan menghadiahkan pahala jamuan tersebut kepada si mati) pada tujuh hari tersebut".
Imam Suyuti menyebut bahawa periwayat-periwayat hadis Thawus ini adalah periwayat-periwayat yang sahih.

Maka dengan itu, janganlah kita mengabaikan amalan membaca Yassin dan bertahlil ini kerana ia merupakan sebaik-baik amalan yang diwarisi daripada generasi terdahulu.Janganlah kita ditipu oleh golongan-golongan yang kononnya bertitle Ustaz ataupun yang bertitle Mufti yang kerjanya tak sudah-sudah nak membida'ahkan, mengharamkan amalan-amalan yang begitu baik untuk diamalkan. Sesungguhnya apa yang diperkatakan oleh mereka yang anti tahlil ini adalah satu usaha pihak musuh Islam yang ingin menjauhkan umat Islam daripada terus berzikir mengingati Allah dan mencipta pula hukum-hakam yang berlandaskan daripada hadis yang umum tanpa difahami tentangnya.



sumber dari: hanifsalleh.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment