Thursday 10 April 2014

Nikmat khusyuk solat







TUGAS utama Nabi Muhammad SAW dan rasul adalah untuk membina diri manusia supaya berakhlak mulia serta beramal salih. Pembangunan diri manusia, pembangunan insan adalah menjadi tonggak segala pembangunan lain.

Bagaimana manusia boleh membangunkan akhlak mulia boleh difahami dan dipelajari dalam peristiwa Isra’ Mikraj, yang mana Nabi Muhammad SAW dibawa melihat setiap kelakuan manusia, nyata atau ghaib.

Berdasarkan gagasan Isra’ Mikraj, solat fardu lima waktu menjadi perintah utama kerana ia ibu segala amal ibadah, wajib dilaksanakan sama ada ketika sihat atau sakit, menjadi tonggak kekuatan agama, menggugurkan segala dosa dan menyelamatkan azab kubur.

Maka kecelakaan besar bagi orang yang sembahyang. (Iaitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya. – Surah An-Najm, Ayat 5

Selain itu kualiti solat juga akan menentukan kualiti pelaksanaan ibadah lain. Wujud perkaitan kuat jika seseorang itu lemah melaksanakan solat, maka ibadah lain mempunyai tahap yang sama. Berdasarkan perkaitan ini, amalan solat adalah amalan yang dapat mencegah kemungkaran.

Firman Allah yang bermaksud:
“Sesungguhnya sembahyang itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Ankabut, ayat 45)

Jika solat itu dibuat secara lalai maka ia boleh mendatangkan musibah dan memberi kesan buruk terhadap kelakuan seseorang.

Firman Allah yang bermaksud:
“Maka kecelakaan besar bagi orang yang sembahyang. (Iaitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya.” (Surah al-Maa’un, ayat 5)

Maksud lalai ialah mereka yang melakukan solat tidak menyedari bilangan rakaatnya, malas melakukan solat sehingga bertangguh-tangguh kerana mengutamakan pekerjaan lain, terburu-buru melakukan solat dan tidak merasai nikmat melakukan solat pada awal waktu.

Memandangkan solat adalah perintah Allah SWT, maka pelaksanaan solat hendaklah dilaksanakan secara khusyuk mengikut peraturan tertentu. Solat yang hakiki dilakukan secara khusyuk akan melindungi seseorang daripada melakukan perbuatan berdosa.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Perbezaan antara manusia dan perbezaan antara syirik dan kufur ialah meninggalkan solat.” (Hadis riwayat Muslim)

Walaupun tidak dapat bertemu Allah SWT seperti dialami Nabi Muhammad SAW berdasarkan gagasan Isra’ Mikraj, kita dapat berhadapan dengan Allah SWT dalam solat dengan syarat, hati kita sepenuhnya mengingati Allah dengan menghindari penyakit syahwat atau bisikan duniawi.

Kedua, hati kita sentiasa mengagungkan Allah SWT dan merasa Allah sentiasa melihat diri kita dan ketiga, hati kita sentiasa meresapi makna ayat al-Quran yang di baca dalam solat.

Menurut Imam Ghazali, antara amalan membentuk solat yang khusyuk ialah memastikan sumber rezeki adalah halal, mendirikan solat seolah-olah akan menghadapi kematian pada esok hari, mendirikan solat pada awal waktu.

Memahami pengertian bacaan dalam solat, mengambil wuduk dengan sempurna dan pakaian bersih, memiliki sifat malu kepada Allah SWT jika pelaksanaan solat itu tidak sempurna.

Akhlak yang kurang baik dan keruntuhan moral dideritai segolongan umat Islam kini berpunca daripada solatnya tidak khusyuk menyebabkan mereka masih melakukan perbuatan keji dan maksiat. Mereka ini melakukan solat tetapi masih juga melakukan perbuatan berdosa.

Gagasan dan kebenaran dalam Isra’ Mikraj ini hendaklah kita teladani, pelajari serta dihayati sebaik mungkin, untuk mengelakkan diri daripada melakukan pelbagai kejahatan, kemungkaran serta terjerumus gaya hidup berdosa.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang munafik itu melakukan tipu daya terhadap Allah, dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka. Mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas. Mereka riak kepada manusia, dan mereka pula tidak mengingati Allah melainkan sedikit sekali.” (Surah an-Nisaa’, ayat 142).



sumber dari: http://albakriah.wordpress.com/

No comments:

Post a Comment