Allah berfirman di dalam ayat kedua surah al-ankabut-
"Apakah kamu menyangka
bahawa kamu akan dibiarkan dengan hanya berkata 'Kami telah beriman' sedangkan
kamu belum diuji?"Hakikatnya kehidupan ini ialah ujian. Ujian daripada
Allah, untuk mengira siapakah antara kita yang mencapai piawaian 'ahsanu amala'.
Allah nak uji siapa antara kita yang berjaya untuk menjadikan hidupnya harum
dengan amalan yang terbaik, sebagaimana difirmankan oleh-Nya di dalam surah
al-Mulk ayat 2.
Fudail bin Iyyad, seorang tabi'in mengatakan bahawa
maksud 'ahsanu amala' ialah amalan yang paling ikhlas dan yang paling bertepatan
dengan sunnah.
Kedua-duanya (iaitu ikhlas dan ittiba' sunnah) ialah
resolusi daripada pemahaman manusia kepada kalimah syahadatain. Kerana bila mana
kita mengatakan bahawa 'tiada tuhan melainkan Allah', makanya kita bermaksud
untuk memusatkan seluruh ketaatan kita kepada-Nya sahaja. Tidak kepada
kuasa-kuasa yang lain, dan tidak juga kepada sosok-sosok yang
lain.
Apakah ada ruang untuk manusia yang beramal kepada Allah semata,
untuk berasa letih dan kecewa bila tiada pujian yang dilemparkan kepadanya?
Tiada penghargaan yang dikurnia kepadanya, tiada kesenangan yang ditumbuhkan
kepadanya.
Maka, jika timbul di dalam dirinya sifat dan perasaan
sebegitu, itu bermakna manusia itu sedang beramal untuk suatu yang bukan kerana
Allah. Mungkin kerana manusia, dan mungkin kerana dunia.
Dalam kitab
Ayyuhal Walad, pada pesanan keempat, Imam Ghazali rahimahullah menukilkan kisah
seorang lelaki dari kalangan bani Israel yang telah beribadah selama 70 tahun.
Allah berkehendak untuk menguji lelaki soleh ini, dengan mengutuskan seorang
malaikat kepadanya untuk berkata, "Walau kamu telah beribadah selama 70 tahun
lamanya, namun ia belum melayakkan kamu untuk masuk ke syurga."
Lalu
dijawab pula oleh lelaki tadi, "Itu bukan urusan saya. Saya diciptakan untuk
beribadah kepada Allah. Maka itulah yang perlu saya lakukan."
Apabila
malaikat itu kembali kepada Allah, dia berkata, "Ya Tuhanku, sesungguhnya Kau
Maha Tahu akan apa yang dikatakan oleh hambaMu."
Lalu Allah berfirman,
"Apabila hambaku tidak berpaling daripada beribadah kepada-Ku, maka Aku
membalasnya dengan kemurahan-Ku. Aku juga tidak akan berpaling daripadanya.
Wahai para malaikat-Ku, bersaksilah kamu semua bahawa Aku telah mengampuni
segala dosa-dosanya."
Hari ini, berapa ramai manusia yang telah tertipu
dengan amalnya? Mereka (termasuklah kita) menginginkan suatu yang segera dan
mudah, saat beramal. Bila tak dapat dan diuji sedikit, kita cepat goyah. Sedikit
demi sedikit, meninggalkan pula amalan!
Bahkan, bukan sedikit juga
manusia yang tertipu dengan merasakan bahawa amalannya itu telah membawanya
seolah-olah sehasta daripada pintu syurga. Kata-kata iblis, 'ana khairun minhu'
diucapkan oleh nuraninya yang sudah basah dengan ego dan kesombongan. Wajarlah!
Aku orang yang banyak beramal, maka aku secara automatik adalah lebih baik dan
lebih betul daripada engkau!
Benarkah begitu?
Jika berlaku begitu,
ternyata ada perkara yang tak kena pada diri kita. Kita masih kurang ikhlas
dalam beramal. Subhanallah. Betapa ruginya seorang hamba, bilamana dia beramal
dan beribadah sejak usia baligh, tetapi hingga ke tua, tidak ada satu pun
amalnya yang ikhlas semata-mata kerana Allah.
Bagaimana pula jika amal
itu pun dilakukan tanpa mengikuti sunnah? Huh, beramal ikut nafsu, ikut suka
hati!
Allah....
Sekarang, kita perlu sedar bahawa kita sememangnya
ada banyak perkara yang perlu diubah, diperbaiki baik daripada nilai ketundukan
hati dan keikhlasan jiwa, mahupun aspek ilmu. Ibadah bukannya suatu yang direka,
dan dijadikan bahan ikut-ikutan yang diwariskan, sebaliknya ibadah ialah legasi
daripada ajaran Rasululullah. Nak beribadah, wajib ada ilmu. Maka, kalau kita
habiskan kebanyakan masa kita dengan aktiviti tak bermanfaat, apakah ada alasan
kita kepada-Nya bila kita kekal sebagai orang yang tidak berilmu?
sumber dari: iqbalsyarie.blogspot.com