Sunday, 1 June 2014

"pendedahan berani"




As-syahid Syed Qutb Rahimahullah dalam karya agungnya Tafsir Fi Zilal Quran menceritakan asbabun nuzul (sebab turun ayat) surah 'Abasa:

Abdullah Ibnu Ummi Maktum RA yang buta itu tidaklah dapat melihat Rasulullah s.a.w. yang memasamkan muka kepadanya semasa baginda asyik memberi tumpuan kepada golongan pembesar Arab Quraisy yang menjadi target "back bone" dalam menegakkan Daulah Islamiah di Madinah.

Rasulullah s.a.w. tidak silap dalam meletakkan aulawiyyat, memilih sasaran dakwah dikalangan mereka yang tegap ekonomi dan kuasa mereka, namun Allah tetap juga menegur baginda yang seolah terlupa kepada Abdullah Ibnu Ummi Maktum yang punya ketulusan hati untuk berjumpa dengan baginda.

Peristiwa ini kelihatannya seperti kecil dan remeh sahaja, tidaklah sehebat kisah peperangan Badar atau segemilang peristiwa pembukaan Makkah. Namun sekecil apa pun yang dinukilkan Allah taala dalam firmanNya, tetap mempunyai hikmah yang begitu agung. Allah taala mengungkap dalam bentuk singgungan secara sinis tetapi telus.

Tanpa selindung lagi, Rasulullah s.a.w. ditegur sebagai ingatan yang berkekalan buat diri baginda dan ummatnya. Ingatan buat pengikut setia yang juga bakal meneruskan tugas dakwah kepada sesiapa sahaja tanpa mengira darjat dan kedudukan. Ternyata impak dari peristiwa ini cukup besar.
Peristiwa ini memberi petunjuk samada di sudut akhlak, pendekatan dan strategi dakwah dalam pembinaan ummah dan negara islam itu sendiri.

Surah yang dirakam secara "gentleman" begitu rupa, zahirnya seolah bakal mencalar imej dan reputasi Rasulullah s.a.w. Namun pengajarannya itulah yang perlu dihirup sepenuhnya. Terutama kepada penerus risalah agung ini seperti pimpinan gerakan islam mahupun pimpinan negara, wajar sekali membuat penelitian dalam mengambil kira sasaran dakwah tanpa memilih bulu.

Tiada siapa nafikan, "pendedahan berani" dalam surah ini begitu berat untuk ditanggung jika ianya berlaku kepada kita yang berjiwa kerdil ini. Ianya ditayangkan sepanjang zaman, dibaca sepanjang zaman dan diperdengarkan kepada orang ramai di sepanjang zaman.

Namun bagi Rasulullah s.a.w. yang berjiwa besar itu, sudah tentu baginda pasrah dan redha terhadap teguran Allah yang Maha Bijaksana lagi Maha Penyayang. Baginda sangat berkeyakinan Al-Quran itu tidak lain adalah pedoman kepada umat baginda jua.

Inilah juga bukti kasih sayang Allah taala yang saban hari terus menerus mengetuk hati nurani insan. Betapa perlunya bashirah atau celik hati nurani ini dibuka dan disingkap hijabnya untuk memahami, mengingati dan menyedarkan kita terhadap isi kandungan al-Quran.



sumber dari: captainsyazwan.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment