Pengisian yang disampaikan oleh ukhti tersebut memang memberikan kesan yang sangat mendalam dalam jiwa saya. Saya rasa bertuah, kerana dipesan dengan nasihat sebegini pada masa ini, bukannya sebulan, setahun atau dua tahun akan datang. Ini kerana saya telah mula terdedah dengan realiti penyakit itu, dan hanya mampu mengangguk-angguk menyerah kerana semuanya benar-benar belaka.
Kami bertadabbur Surah Al-Hadid ayat 12 sehingga 16. Pendek tapi padat dengan isi.
12. (Ingatlah) ketika engkau melihat (pada hari kiamat): orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, cahaya (iman dan amal soleh) mereka bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan, serta dikatakan kepada mereka): “Berita yang mengembirakan kamu pada hari ini, (kamu akan beroleh) Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, kekal kamu di dalamnya; yang demikian itu adalah kemenangan yang besar”.
13. (Ingatlah) semasa orang-orang munafik, lelaki dan perempuan (yang sedang meraba-raba dalam gelap-gelita pada hari kiamat), berkata kepada orang-orang yang beriman: “Tunggulah kami, biarlah kami mengambil sedikit dari cahaya kamu”. (Lalu) dikatakan (kepada mereka secara mengejek-ejek): “Baliklah kamu ke belakang, kemudian carilah cahaya (di sana)”, serta diadakanlah di antara mereka (yang beriman dan yang munafik itu) sebuah tembok yang mempunyai pintu, di sebelah dalamnya mengandungi rahmat (Syurga dan nikmat), dan di sebelah luarnya, dari situ terdapat (neraka) dan azab seksa.
14. (Pada saat itu) mereka (yang munafik) menyeru orang-orang yang beriman (sambil berkata): “Bukankah kami bercampur gaul dengan kamu (di dunia dahulu)?” Orang-orang yang beriman menjawab: “Benar! Akan tetapi kamu telah membinasakan diri kamu (dengan perbuatan munafik) dan kamu telah menunggu-nunggu (kebinasaan umat Islam), dan kamu pula ragu-ragu (terhadap perkara-perkara ugama) serta kamu diperdayakan oleh angan-angan kosong (untuk mencapai maksud kamu), sehinggalah datangnya (maut) yang ditetapkan oleh Allah (kepada kamu). Dan (selain itu), kamu pula diperdayakan oleh bisikan Syaitan dengan (pengampunan) Allah (semata-mata dan melupakan azabNya).
15. “Oleh itu, pada hari ini tidak diterima penebus diri dari kamu, dan tidak juga dari orang-orang kafir. Tempat tinggal kamu ialah neraka, nerakalah sahaja penolong kamu, dan itulah seburuk-buruk tempat kesudahan kamu!”
16. Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (Al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)? Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras, dan banyak di antaranya orang-orang yang fasik – derhaka.
“Ketika engkau akan melihat orang-orang beriman…”
Ya Allah, apakah waktu itu aku hanya menjadi orang yang melihat orang-orang beriman dipenuhi cahaya dari kanan dan hadapan mereka dan mereka diberi pengumuman yang baik semasa di akhirat kelak? Apakah aku hanya golongan yang melihat?
Jika begitu, akukah orang yang memanggil-manggil mereka untuk menunggu dan meminta diberikan sedikit cahaya itu? Tatkala mereka bergerak menuju syurga, aku terkejar-kejar sambil mengungkit bahawa aku dahulu bersama-sama mereka dalam perjuangan.
Aku kan bersama-sama kamu dalam jamaah? Kita duduk-duduk di dalam halaqah bersama-sama? Kita bertilawah bersama-sama?
“Benar, tapi kamu membinasakan diri kamu sendiri. Kamu hanya menunggu-nunggu.” Jawab wajah-wajah bercahaya itu. Mereka seolah-olah berkata:
Di mana kamu saat dakwah memerlukanmu? Kamu begitu berkobar-kobar semasa di universiti dahulu. Segala tenaga, idea dan wang ringgit telah kamu curahkan tanpa rasa kesal dan jemu. Namun sekarang, zaman pekerjaanmu menyebabkan kamu meminta hak masamu untuk diri sendiri daripada murabbimu. Kamu meminta untuk mereka faham keadaanmu. Kamu mahu mereka mengerti bahawa kamu kini sudah dewasa, kamu ada banyak perkara yang perlu difikirkan. Kamu mengeluh di sana, kamu merungut di sini. Keluhan-keluhan kamu salurkan pada manusia. Meminta mereka mengerti akan keperluanmu.
Kamu hanya menunggu tarbiyyah itu datang membelaimu. Datang sendiri mengetuk pintu rumahmu di kampung atau menjemput dengan karpet merah. Kerana kamu orang yang sibuk. Maka, kamu menunggu layanan terbaik daripada dakwah buat dirimu.
Da’i yang kecewa dan terluka
Kamu menjadi seorang da’i yang kecewa dengan dakwah dan akhirnya pergi membawa diri. Kamu beranggapan dakwah tidak menghargai kamu yang banyak tanggungan itu. Sekurang-kurang, tolonglah faham wahai dakwah, katamu.
Kamu ibarat orang yang tertusuk selumbar di dalam jarinya. Lukanya tidak kelihatan dan tidak berdarah di luar. Tapi kalau disentuh dengan kuat hatta dihembus angin pun terasa sakitnya. Kamu merasakan segala kata-kata dan teguran ditujukan untukmu. Lukamu semakin sakit dengan apa sahaja yang menyentuhnya. Kamu mengeluh lagi di sana sini.
‘Kak, saya ada banyak kerja.’ ‘Kak, saya tak larat. Penat bekerja.’ ‘Kak, company saya ada projek sekarang.’ ‘Kak, saya kena jaga mak, belajar, kerja, susah nak cari masa.’ ‘Kak, saya itu…saya ini…’
Tetapi kamu tidak mendapatkan juga apa yang memuaskan hati kamu. Dakwah mengecewakanmu.
Lama kelamaan, kamu semakin ragu dengan jalan dakwah lalu mula meragui janji-janji Allah. Kamu berasa syak kepada manhaj Islam. Kamu menjadi berprasangka dengan Tuhanmu.
Lalu kemudian jadilah kamu orang yang ditipu syaitan dengan angan-angan kosong.
Loh! Itukan ciri-ciri orang yang menjerit meminta untuk ditunggu dan diberikan cahaya tadi?
Maka sayakah itu?
Menunggu dan menunggu dalam jangka waktu yang panjang dengan membawa lara di dalam hati, menyebabkan hati menjadi keras seperti yang disebutkan dalam ayat ke-16 surah Al-Hadid. Maka, pada ketika itu kamu menjadi tawar hati kepada Tuhanmu. Kamu hilang kekhusyukanmu. Derhaka.
Akhirnya, bermulalah episod da’i yang kecewa dan terluka di dunia.
Betapa mencabarnya ujian di alam pekerjaan. Saya yang berbicara ini begitu takut dengan kata-kata saya sendiri.
Ya Allah, jadikanlah aku orang yang berpaling untuk melihat mereka yang meminta untuk menunggu dan diberikan cahaya, bukannya orang yang menjerit meminta-minta sedikit cahaya itu.
Ya Allah, janganlah jadikan aku seorang da’i yang merungut dan hanya duduk menunggu dibelai dakwah. Janganlah aku disibukkan dengan dunia. Janganlah jadikan aku berkira-kira dengan dakwah demi cintaku kepada keperluan duniawi.
Ya Allah, begitu peningkatan usia itu menakutkan!
sumber dari: muharikah.com/
No comments:
Post a Comment