SEBELUM memeluk Islam, seperti yang disebut sebelum ini Saidina Umar Al Khattab bersikap keras dan kejam terhadap Islam. Beliau tidak pernah berlembut terhadap pengikut-pengikut agama itu. Sehinggalah pada suatu hari beliau mula merasakan kesayuan apabila mendengar ada di kalangan pengikut Islam yang hendak berhijrah ke Habsyah itu terdiri daripada para sahabat dan saudara maranya sendiri.
Peristiwa ini ditunjukkan pada suatu malam, apabila beliau terserempak dengan salah seorang sahabat Nabi Muhammad, iaitu Ummu Abdullah yang keluar dari rumah dan sedang menuju untuk bertemu dengan anaknya untuk sama-sama melarikan diri ke Habsyah.
Umar bertanya: "Ke mana kamu hendak pergi wahai Ummu Abdullah?"
"Kamu seksa kami, kamu ganggu kami, kamu tidak mahu lagi kepada kami, biarlah kami keluar dari Mekah. Kamu tidak rugi apa-apa kalau kamu biarkan aku keluar dari Mekah ini," jawab Ummu Abdullah.
Lalu Umar pun berkata: "Kalau begitu, ini perpisahan antara kita wahai Ummu Abdullah. Semoga keselamatan menyertai perjalanan kamu."
Kebetulan Umar dan Ummu Abdullah mempunyai hubungan persaudaraan maka beliau tidak menyekat saudaranya itu meninggalkan Mekah.
Inilah kali pertama Umar berlembut yang menyebabkan Ummu Abdullah sendiri terkejut kerana sebelum ini Umarlah orang yang paling keras terhadap Islam. Umar pernah menyeksa dengan begitu azab terhadap seorang hamba perempuan daripada Suku Muammilah. Walaupun Umar bukan daripada suku tersebut tetapi kerana tidak berpuas hati terhadap Islam, beliau sanggup menawarkan diri untuk menyeksa hamba itu. Lalu di pukulnya hamba itu sehingga beliau sendiri jemu.
Apabila Ummu Abdullah bertemu anaknya, Abdullah lalu diceritakan pertemuannya dengan Umar yang menyebabkan si anak kehairanan.
"Bagaimana ibu boleh melepaskan diri daripada Umar?" Tanya Abdullah.
"Itulah yang berlaku, Maha Besar Allah. Bukan sahaja dilepaskan aku, bahkan didoakan untuk keselamatan kita dalam perjalanan ini kelak," kata Ummu Abdullah.
"Mungkin kerana ibu sangat berharap agar Umar memeluk Islam" kata Abdullah.
"Benar, demi Allah, aku berharap sangat Umar menerima dan memeluk Islam," kata si ibu.
Namun si anak berkata: "Wahai ibu, demi Allah, Umar tidak akan mengucap dua kalimah syahadah selagi keldainya sendiri tidak mengucap dulu. Mustahil bagi Umar untuk memeluk Islam!"
Memang benar pada masa itu seperti yang dikenali, Umar yang keras hati dan kepala ini tidak akan sekali-kali tunduk terhadap Islam. Beliau berlembut terhadap Ummu Abdullah atas dasar hubungan darah sahaja. Apabila pulang semula ke rumah, dia mula berfikir bagaimana boleh berlaku semua 'bencana' ini, pecah-belah di kalangan Quraisy dan penduduk Mekah, amnya. Apabila orang mula sanggup meninggalkan Mekah, Siapakah punca semua ini berlaku?
Setelah puas berfikir, akhirnya Umar percaya bahawa Nabi Muhammad yang menjadi punca semua itu.
Lalu dia bertekad untuk terus membunuh Nabi Muhammad supaya selesai semua masalah dan penduduk Mekah kembali bersatu atas nama agama nenek moyang yang dipertahankan selama ini. Dia terus menyarungkan pedang keluar menuju mencari baginda Rasulullah SAW.
Namun sebelum itu, adakah Umar tidak pernah bersemuka sendiri dengan Rasulullah? Atau sekurang-kurangnya berada hampir dengan baginda?
Dalam setengah riwayat yang lain, di kisah pada suatu malam Umar keluar dari rumahnya menuju ke Kaabah.
Ketika itu juga dikatakan baginda Rasulullah turut berada di situ untuk mendirikan solat sambil membacakan ayat-ayat al-Quran daripada surah al-Haqqah.
Umar terus memasang telinga untuk mendengarkan apa yang dibaca oleh Nabi Muhammad dan dikatakan Umar terus merasa takjub dengan susunan gaya bahasa ayat-ayat yang dibaca oleh Rasulullah itu. Lebih-lebih lagi apabila dibacakan di tengah-tengah malam sunyi, maka bacaan itu begitu mudah menusuk ke dalam hatinya.
Lalu Umar berkata: "Aku berkata pada diriku sendiri pada masa itu bahawa demi Allah bahawa Muhammad ini merupakan seorang penyair sebagaimana yang diperkatakan oleh orang ramai."
Namun dengan takdir Allah, bacaan baginda sampai kepada ayat yang bermaksud berikut: Bahawa sesungguhnya al-Quran ialah wahyu daripada Kami yang disampaikan oleh seorang Rasul yang mulia. Dan bukanlah al-Quran itu perkataan seorang penyair (sebagaimana yang kamu dakwakan tetapi sayang amatlah sedikit kamu beriman. (al-Haqqah: 40 - 41)
Lalu Umar yang terkejut kepada ayat-ayat yang seperti ditujukan kepadanya itu menganggap pula Nabi Muhammad itu sebenarnya seorang pawang. Ini kerana hanya pawang sahaja yang tahu apa yang bermain dalam fikiran seseorang dan apa yang berlaku di sekelilingnya.
Namun Umar bertambah terkejut apabila mendengarkan ayat-ayat seterusnya yang dibacakan oleh Nabi Muhammad. Dan juga bukanlah al-Quran itu perkataan seorang pawang (sebagaimana yang kamu katakan). Tetapi sayang amatlah sedikit kamu mengambil peringatan (al-Quran itu) diturunkan Allah, tuhan sekalian alam. (al-Haqqah: 42-43)
Sehinggalah Nabi Muhammad membaca surah itu sehingga ayat terakhir, Umar mengakui bahawa ada cahaya dari Islam itu mula menyerap dalam dirinya.
Begitupun akibat terlalu taksub, cahaya yang telah menyerap masuk itu masih tidak memberikan apa-apa makna yang besar terhadap Umar. Beliau tetap untuk mempertahankan agama nenek moyangnya itu dan tetap meneruskan niat untuk membunuh Nabi Muhammad walaupun baginda telah 'menjelaskan' siapa dirinya sebagaimana yang didengar sendiri pada malam itu.
Di pertengahan jalan untuk mencari Nabi Muhammad itu, Umar telah ditegur oleh lelaki daripada Bani Zuhrah atau Makhzum, yang bernama Nu'aym bin Abdullah. Nu'aym dikatakan telah memeluk Islam tetapi disembunyikan daripada pengetahuan sesiapa terutamanya Umar bagi mengelakkan daripada sebarang kesusahan kepada dirinya.
Apabila beliau melihat Umar dalam berpakaian seperti hendak berperang dan lengkap bersenjata dan muka yang jelas seperti dalam keadaan marah, lalu dia memberanikan diri menegur Umar.
"Kamu hendak ke mana wahai Umar," tanya Nu'aym.
"Aku mahu pergi membunuh orang yang memecahbelahkan kaumku dan menghina datuk nenekku.
"Maksudku, aku ingin membunuh si Muhammad!" tegas Umar.
Nu'aym begitu cemas mendengarkan jawapan Umar itu kerana ia benar-benar satu petanda buruk kerana mengenali Umar selama ini, tidak mustahil dia akan melakukan apa sahaja, hatta membunuh orang sekalipun.
"Wahai Umar, adakah kamu rasa kamu boleh terlepas daripada suku Abdul Mutalib kalau kamu membunuh Muhammad?" Tanya Nu'aym.
Umar menjawab dengan tegas: "Walaupun aku akan dibunuh oleh suku Abdul Mutalib, aku tidak peduli."
Ini membuatkan Nu'aym perlu melengah-lengahkan Umar atau perlu menggagalkan sahaja rancangan Umar untuk membunuh Rasulullah.
Namun tugas ini tentunya tidak mudah namun Nu'aym tidak ada cara dan jalan lain, kecuali terpaksa mendedahkan satu rahsia yang selama ini tersimpan baik.
"Kalau begitu kamu mulakan dulu dengan keluarga kamu, kerana itu adalah lebih baik!"
Umar pun bertanya: "Siapakah yang kamu maksudkan?"
"Adik perempuan kamu, Fatimah!" kata Nu'aym dengan penuh rasa bersalah.
Umar begitu terkejut mendengarkan adiknya sendiri sanggup membelakangkannya yang selama ini begitu anti terhadap Islam.
Lalu tanpa membuang masa, Umar menukarkan langkahnya menuju ke rumah Fatimah. Hasrat untuk membunuh Nabi Muhammad itu ditangguhkan terlebih dahulu.
Fatimah dan suaminya, Saad bin Zaid merupakan antara yang terawal memeluk Islam tanpa diketahui oleh Umar.
Di saat Umar sedang menuju ke rumahnya itu, Fatimah dan suaminya sedang belajar membaca al-Quran daripada seorang lagi sahabat yang telah mahir mengenai kalam-kalam Allah itu, iaitu Khabbab bin Arat.
Malangnya, suara mereka membacakan ayat-ayat suci al-Quran sebenarnya telah didengari oleh Umar.
Umar semakin panas hati mendengarkan itu semua, tanpa membuang masa beliau terus mengetuk pintu rumah Fatimah dengan kuat!
sumber dari: utusan.com.my/
No comments:
Post a Comment