Allah Taala berfirman dalam surah al-Hadid ayat 3:
هُوَ الأوَّلُ وَالآخِرُ وَالظَّاهِرُ وَالبَاطِنُ وَهُوَ بِكُلِّ شَئٍ عَلِيمٌ
Maksudnya: “Dialah Yang Awal (tiada permulaan) dan Yang Akhir (tiada penghabisan) dan Yang Zahir serta Yang Batin dan Dialah Yang Maha Mengetahui akan setiap sesuatu”.
Sebagai seorang yang beriman yang mempunyai akal yang sempurna, ayat di atas akan dijadikan sebagai dalil yang menunjukkan kejadian sekalian makhluk dan keunikan ciptaan alam semesta sebagai bukti adanya ‘pencipta’ yang Esa yang mempunyai sifat yang penuh dengan kesempurnaan dengan kekuatan, kekuasaan, kehendak-Nya dan juga kebesaran-Nya.
Kita juga memahami bahawasanya Allah menciptakan sesuatu daripada tiada menjadi ada iaitu wujud. Dia bersifat dengan sifat kesempurnaan yang layak bagi-Nya, sama sekali tidak sama seperti sifat makhluk yang mempunyai banyak kekurangannya.
Sebagai manusia Allah menjadikan kepada kita sifat ilmu, satu sifat yang mulia akan tetapi sifat ilmu kita terhad dan terbatas. Kita tidak boleh mengetahui semua perkara. Allah juga mencipta kekuatan kepada kita tetapi dengan kekuatan yang kita ada masih tak mampu melakukan semua perkara, ianya masih terbatas. Begitulah juga dengan kehendak kita turut juga bersifat makhluk yang sentiasa berubah-ubah tidak tetap dan senantiasa berganti-ganti.
Adapun Allah sesungguhnya Dia Maha Mengetahui setiap sesuatu, tidak ada sesuatu pun yang tersembunyi ke atas-Nya melainkan Dia juga mengetahuinya. Allah berkuasa melakukan apa sahaja dari setiap sesuatu dan tidak ada sesuatu pun yang boleh menghalang-Nya. Kita juga wajib meyakini bahawa tidak ada sesuatu yang berlaku di alam ini melainkan dengan kehendak Allah, dan kehendak Allah adalah tidak berubah-ubah dan berganti-ganti.
Allah berfirman lagi dalam surah at-Takwiir ayat 29:
وَمَا تَشَاءُوْنَ إِلاَّ أَنْ يَشَاءَ اللهُ رَبُّ العَالَمِينَ
Maksudnya: “dan kamu tidak dapat menentukan kamahuan kamu kecuali dengan cara yang ditentukan dan dikehendaki oleh Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir seluruh alam”.
Allah Taala wujud dan tidak ada permulaan pada kewujudan-Nya. Ini difahami dari ayat “هو الأول”. Iaitu Dialah yang wujud tidak ada permulaan.
Cerita Tentang Permulaan Makhluk
Satu rombongan dari negara Yaman telah datang bertemu dengan Rasulullah dan bertanyakan kepada baginda: “wahai Rasulullah kami datang untuk mendalami ilmu dalam agama dan ceritakanlah kepada kami permulaan sesuatu perkara”. Rasulullah menjawab: “adalah Allah itu ada dan tidak ada sesuatu bersamanya”. [H.R Bukhari]
Sesungguhnya Rasulullah telah menjawab pertanyaan mereka bahawasanya Allah tidak ada permulaan pada kewujudan-Nya iaitu ‘azali’ dan tiada ada yang azali selain Allah. Dengan perkataan lain pada azal tidak ada lain kecuali Allah sahaja. Dan Allah yang mencipta setiap segala yang sesuatu. Dan makna Allah mencipta setiap segala sesuatu ialah Allah mencipta semua makhluk daripada tiada kepada ada.
Allah Taala juga hidup dan tidak mati. Tidak ada penghujung pada kewujudan-Nya, Dia tidak akan hilang atau binasa kerana setiap sesuatu yang boleh hilang dan binasa adalah makhluk iaitu mempunyai permulaan.
Firman Allah “هو الأول و الآخر” makna ‘akhir’ ialah Dia kekal tidak binasa dan tidak juga mati. Adalah salah memahami makna ‘akhir’ dengan makna penghujung atau berakhir kewujudan-Nya selepas berakhirnya kewujudan semua makhluk, fahaman seperti ini adalah salah dan maha suci Allah dari bersifat sedemikian.
Dan makna “والظاهر” ialah setiap sesuatu yang ada menunjukkan pada akal kita akan kewujuda-Nya. Maka secara mudahnya kita akan berkata wujudnya sekalian makhluk telah menunjukkan kepada wujudnya Allah yang Esa.
Pepatah arab ada mengatakan:
فَيَا عَجَبًا كَيْفَ يُعْصَى الأِله أَمْ كَيْفَ يَجْحَدُهُ جَاحِدُ
وَفِي كُلِّ شَئٍ لَهُ آيَةٌ تَدُلُّ عَلَى أَنَّهُ وَاحِدُ
Ertinya: “alangkah peliknya bagaimana seorang itu boleh mengingkari tuhannya atau bagaimana dia boleh menafikan akan adaNya, kerana pada setiap sesuatu dari makhluk telah menjadi bukti akan adanya Dia yang Esa.”.
Allah berfirman dalam surah Qaaf ayat 6:
أَفَلَمْ يَنْظُرُوْا إِلَى السَّمَاءِ فَوْقَهُم كَيْفَ بَنَيْنَاهَا وَزَيَنَّاهَا وَمَا لَهَا مِنْ فُرُوْج
Maksudnya: “Maka tidakkah mereka memandang ke langit yang ada di sebelah atas mereka dengan tidak bertiang. Bagaimana Kami membinanya dengan rapi serta Kami menghiasinya dengan bintang-bintang dan dengan keadaan tidak ada padanya retak renggang”.
Jika kita renungkan alam ini kita akan dapati ianya seperti sebuah rumah yang di bina dengan rapi dilengkapi setiap sudut dengan keperluannya. Kita akan dapati langit yang terangkat itu seperti bumbung dan bumi yang tehampar ini bagaikan lantai, manakala bintang yang terapung-apung itu bagaikan lampu dan pelita, dan jika renungkan lagi kepada yang lebih mendalam dari tu iaitu pada diri kita nescaya kita akan dapati kesempurnaan dan keajaiban yang unggul tentang ciptaan Allah.
Begitu juga jika kita lihat pada bumi ini dan cubalah kita renungkan lagi apa yang tercipta di atasnya daripada bukit dan bukau yang tegak kukuh, laut-lautan yang luas, sungai-sungai yang mengalir. Lihat juga pada kebesarannya seperti besarnya matahari, bintang dan bulan telah menerangkan bumi dan langit dengan cahayanya . Adakah ini tidak lagi cukup menunjukkan kepada kekuasan-Nya? Adakah ini bukan bukti kepada kewujudan-Nya? Sudah tentu ianya menjadi bukti yang nyata kepada kebesaran dan kewujudan-Nya. Bagaimana mungkin seseorang itu boleh menafi dan menolak kebenaranya. Orang yang mengingkarinya membuktikan dia telah menolak dalil yang nyata dari akal, yang Allah jadikan kepadanya untuk membezakan dengan yang hak dan batil.
Makna kalimah "والباطن" pula ialah, Allah taala kita tidak boleh melontarkan padanya anggapan pada fikiran kita bagaimana zatNya, fikiran yang ada pada kita tidak akan sampai pada kita zat Allah kerana zat Allah tidak sama dengan zat kita. Allah tidak sama dengan makhluk-Nya dan sifat-sifat Allah juga tidak sama dengan sifat-sifat makhluk tidak juga kita boleh sifat dan gambar Allah dengan bentuk, rupa, panjang, pendek, depa ataupun warna kerana semua sifat ini adalah sifat-sifat makhluk dan Allah telah tegaskan dalam al-Quran Dia tak sama dengan sekalian makhluk.
Inilah yang perlu kita iktikadnya dalam akidah kita, dan inilah akidah yang haqqah (akidah sebenar) yang dianuti oleh salafussoleh. Setiap Iktikad yang ada menyamakan sifat dengan sifat makhluk membawa kepada murtad. Seperti orang yang menyatakan Allah itu berjisim, atau Allah itu mempunyai warna, maha suci Allah dari sifat sedemikian. Allah yang mencipta jisim dan mencipta warna bentuk dan maha suci Allah dari bersifat seperti sifat mahkluk-Nya.
sumber dari: syafiee.blogspot.com
No comments:
Post a Comment