Setelah membaca
al-Fatihah, disunatkan membaca ayat al-Quran dari surah lazim atau ayat
al-Quran yang dihafal. Seorang imam perlu berhenti seketika (saktah)
sebelum memulakan bacaan surah ini. Saktah itu sekira-kira panjangnya
makmum selesai membaca surah al-Fatihah. Ketika ini imam bolehlah
membaca surah yang hendak dibaca secara sir (perlahan). Sebagai contoh,
imam ingin membaca surah Al-Fiil, maka bolehlah dia membaca surah
al-Humazah secara sir sebelum membaca surah al-Fiil secara jahar (kuat).
Dalam solat imam
membaca secara jahar (solat fardhu Subuh, Maghrib dan Isya’), imam
perlulah membaca ayat-ayat al-Quran mengikut muwaalat (turutan sususan
surah dalam al-Quran). Bacaan surah tidak harus membaca secara
menyongsang misalnya membaca surah An-Nash pada rakaat pertama, kemudian
membaca al-Kaafiruun pada rakaat kedua. Bacaan surah selepas membaca
al-Fatihah dalam rakaat pertama dan kedua hukumnya sunat haiat. Pun
begitu, sebagai mencapai kesempurnaan solat bacaan ini tidak harus
diabaikan. Rasulullah S.A.W membaca surah yang lebih panjang pada rakaat
pertama berbanding rakaat kedua kecuali dalam solat Jumaat dan sunat
hari raya. Dalam solat-solat ini nabi membaca surah al-A’laa (sabbihis)
pada rakaat pertama dan al-Ghaasyiah pada rakaat kedua. Surah
al-Ghaasyiah lebih panjang daripada al-A’laa iaitu 26 ayat. Sedangkan
al-A’laa hanya 19 ayat. Selain daripada ini, bacaan surah hendaklah
mengikut keutamaan (al-Aulaa) iaitu dari segi muwaalatnya.
Bagaimana dengan
seseorang membaca surah al-Falaq pada rakaat pertama kemudian an-Naas
pada rakaat kedua? Jika dilihat, an-Naas lebih panjang daripada
al-Falaq. Jika an-Naas dibaca keseluruhannya, ia disebut sebagai
membelakangkan sunnah (Khilaf as-Sunnah). Manakala jika dibaca secara
menyongsang, ia disebut sebagai membelakangkan keutamaan (Khilaf
al-Aulaa). Ulama membahaskan hal ini dengan menyebut, surah An-Naas
perlulah dibaca pada rakaat kedua dengan syarat ayat yang dibaca
menyamai bilangan ayat surah al-Falaq atau lebih pendek daripada itu.
Contoh kedua khilaf al-Aulaa berlaku sebagaimana berikut. Seseorang
membaca surah al-Humazah dalam rakaat pertama, kemudian membaca surah
al-Quraisy dalam rakaat kedua. Walhal jika dilihat muwaalat surah,
al-Fiil lebih utama dan lebih pendek juga berbanding dengan surah
al-Humazah. Hal ini berbeza jika membaca surah at-Tiin dalam rakaat
pertama, kemudian membaca surah al-Qadr dalam rakaat kedua. Hal ini
bermakna jika membaca surah al-‘Alaq (19 ayat), tindakan itu sudah
termasuk dalam khilaf as-Sunnah, melainkan kalau dibaca setakat ayat
yang kelapan kerana surah at-Tiin mengandungi 8 ayat sahaja.
Begitu juga halnya
dengan amalan solat sunat Taraweh. Imam memulakan bacaan bermula surah
At-Takaatsur kemudian membaca surah al-Ikhlaash dalam rakaat kedua.
Bacaan dalam rakaat kedua diulang-ulang. Adalah lebih elok sekiranya
dibaca mengikut muwaalat surah sehingga lengkap dua puluh rakaat
Taraweh tersebut.
sumber dari: naimisa.blogspot.com
No comments:
Post a Comment