Saturday 29 June 2013

kedudukan yang sangat tinggi dan terpuji




"Racist" Coke Ad


Allah SWT berfirman:

لِلْفُقَرَاءِ الْمُهَاجِرِينَ الَّذِينَ أُخْرِجُوا مِنْ دِيَارِهِمْ وَأَمْوَالِهِمْ يَبْتَغُونَ فَضْلًا مِنَ اللَّهِ وَرِضْوَانًا وَيَنْصُرُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ أُولَئِكَ هُمُ الصَّادِقُونَ (8) وَالَّذِينَ تَبَوَّءُوا الدَّارَ وَالْإِيمَانَ مِنْ قَبْلِهِمْ يُحِبُّونَ مَنْ هَاجَرَ إِلَيْهِمْ وَلَا يَجِدُونَ فِي صُدُورِهِمْ حَاجَةً مِمَّا أُوتُوا وَيُؤْثِرُونَ عَلَى أَنْفُسِهِمْ وَلَوْ كَانَ بِهِمْ خَصَاصَةٌ وَمَنْ يُوقَ شُحَّ نَفْسِهِ فَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ (9) وَالَّذِينَ جَاءُوا مِنْ بَعْدِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَحِيمٌ (10)
Maksudnya:
“(Pemberian itu hendaklah diuntukkan) kepada orang-orang fakir yang berhijrah, yang telah diusir keluar dari kampung halamannya dan harta bendanya (kerana berpegang teguh kepada ajaran Islam), untuk mencari limpah kurnia dari Allah dan keredaanNya, serta menolong (agama) Allah dan RasulNya; mereka itulah orang-orang yang benar (imannya dan amalnya). Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya. Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu”.” (Al-Hasyr: 8-10)

Di dalam menghuraikan ayat di atas, al-Qurtubi telah membawa sebuah kisah tentang seorang lelaki yang datang kepada Ali Ibnu Husayn RA (anak Sayidina al-Husayn):

“Dia bertanya: “Wahai anak kepada puteri perempuan Rasulullah SAW (Fatimah). Apakah pendapatmu tentang Uthman? Jawab Ali Ibnu al-Husayn: “Wahai saudara! Apakah engkau termasuk dalam golongan yang disebut oleh Allah sebagai : ‘Bagi para fuqara’ (orang-orang faqir) yang berhijrah’? Jawab lelaki tersebut ‘Tidak!’ Kata Ali Ibnu Al-Husayn: “Demi Allah jika engkau tidak termasuk dalam ayat tersebut, maka engkau ini di kalangan yang disebut oleh Allah: ‘Dan orang-orang yang mendiami kota Madinah dan telah beriman’.” Lelaki itu menjawab: “Tidak!” Kata Ali Ibnu al-Husayn: “Demi Allah sekiranya engkau tidak termasuk dalam golongan ketiga ayat ini, nescaya engkau terkeluar daripada Islam iaitu firman Allah: ‘orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman’.” (Lihat: al-Qurtubi, al-Jami’ li Ahkam al-Quran, jid. 18, hlm. 31)

Melalui dialog di atas, kita dapat fahami bahawa ayat tersebut membahagikan manusia kepada tiga golongan yang utama. Antaranya ialah:
  1. Golongan Muhajirin (orang yang berhijrah dari Makkah ke Madinah).
  2. Golongan Ansar (yang membantu orang Islam yang berhijrah).
  3. Golongan yang datang selepas Muhajirin dan Ansar (orang-orang selepas itu yang masuk Islam sehingga kepada kita sekarang). Mereka mendoakan keampunan untuk Muhajirin dan Ansar yang telah mendahului mereka dalam beriman kepada Allah dan Rasul-Nya.

Tiada siapa pun dari golongan Ahl Sunnah Wal-Jemaah disuruh untuk menghina atau mencaci kesemua sahabat walau pun seorang, malah kita disuruh untuk mendoakan keampunan dan kerahmatan kepada para sahabat yang suci daripada tuduhan-tuduhan yang buruk. Mereka mempunyai jasa yang sangat besar kepada umat ini.

Justeru, seorang penulis yang bernama Muhammad Salah Muhammad al-Sawi telah mengumpulkan dalil-dalil al-Quran yang jelas menunjukkan tingginya kedudukan para sahabat di sisi Allah SWT. Lalu beliau membuat kesimpulan dengan mengatakan:

“Kita telah melihat semua ayat al-Quran al-Karim, menerusinya kita mendengar penyaksian Allah Jalla Wa ‘ala untuk para sahabat Rasulullah tentang hakikat iman yang tersimpan di dalam hati mereka, betapa mereka itu ikhlas dalam ketaatan dan kesungguhan beribadat. Allah juga memuji mereka kerana hijrah, jihad, menolong Islam, menyuruh kepada ma’ruf, mencegah daripada perkara yang mungkar dan berlumba-lumba dalam melakukan kebaikan.” (Lihat: Al-Sawi, Manzilah al-Sahabah fi al-Quran, hlm. 53)

Daripada ayat-ayat yang telah dibentangkan berserta huraian daripada para alim ulama, walaupun banyak lagi dalil-dalil yang ada di dalam al-Quran, kita telah dapat fahami betapa al-Quran telah menempatkan para sahabat pada satu kedudukan yang sangat tinggi dan terpuji. Mereka bebas daripada tuduhan-tuduhan buruk yang sengaja diada-adakan oleh pihak-pihak tertentu.

Oleh itu, Allah adalah segala-segala-galanya di dalam ajaran Islam, apabila Allah telah memutuskan satu keputusan, maka tiada sesiapa pun yang dapat menyanggahinya walau siapa pun dia. Al-Quran adalah rujukan tertinggi umat Islam, al-Quran adalah yang paling benar, ia tidak disentuh oleh sebarang keraguan. Tidak ada perkara yang lebih benar daripada apa yang ada di dalam al-Quran. Tidak ada satu sumber yang lebih terpelihara di alam ini melainkan al-Quran. Justeru, apa-apa sahaja maklumat atau dakwaan yang bercanggah daripada isi kandungan al-Quran, maka maklumat atau dakwaan itu perlu dipertikaikan, bukannya al-Quran. Maka amat penting untuk kita memahami kaedah ini agar kita tidak tertipu atau terkeliru.


sumber dari: fikrahhalaqah.com

No comments:

Post a Comment